Konflik Ibu, Mertua dan Menantu Berkenaan Salah Faham Penyusuan Ibu

Tertarik tentang artikel konflik antara ibu, ibu mertua dan menantu berkenaan penyusuan ibu dalam diarimama.com. Ia sememangnya sesuatu yang biasa kita dengar hal kecik pun dibesarkan sehingga buat ibu atau ibu mertua dan menantu terasa hati atau kecik hati. Boleh baca penceritaan tersebut di bawah. Aku rasa semua orang akan mengalami situasi ini khususnya yang baru menimang cahaya mata pertama.
 
Kisah mengenai seorang ibu yang berjuang mengenai hak anaknya untuk meminum susu badan sepenuhnya secara eksklusif, tetapi mertua pula masuk campur kerana bayi yang baru dilahirkan asyik menangis kerana ketiadaan susu yang banyak pada awalnya. Puas ibu ini memikirkan cara banyakkan susu badan supaya dapat menyusu anak kesayangannya tanpa rasa terganggu. 

Bukan salah ibu yang baru bersalin anak pertama. Bukan juga salah ibu mertua yang sebenarnya sangat menyayangi cucunya yang dilihat asyik menangis kerana lapar dan juga rasa kasih mertua terhadap menantu risau dia kepenatan kerana berjaga malam. Orang tua memang sudah lama dipengaruhi dengan iklan susu formula yang dibawa masuk Barat. Bagi mereka, apa yang dilihat dalam televisyen, itulah yang terbaik. Oleh itu, kita sebagai ibu moden yang punya pengetahuan dan kesedaran tentang kebaikan susu badan perlu sama-sama berbincang dengan ibu mertua. Kalau boleh, sejak hamil lagi perlu pasakkan pendirian anda ke dalam minda ibu mertua.Disebabkan ibu mertua berulang kali mendesak untuk belikan susu formula kepada bayi, terbit sikap tegang sehingga membuatkan ibu mertua seakan jauh hati.



Kebetulan, bayinya pula kurang pandai menyusu secara terus. Apabila diperah menggunakan tangan, hanya beberapa titis yang keluar. Bila menggunakan pam elektrik, pedih yang amat mula terasa pada puting payudara.Tertekan susunya tidak keluar sebagaimana yang diharapkan. Bayinya pula asyik menangis, ingin didukung sehingga rutin mengurut dan berpantang menjadi kucar kacir. Letih, penat, tertekan, sedih…semua bergabung menjadi satu.

Sebenarnya, penyusuan susu badan sememangnya memerlukan ilmu. Menyusu merupakan fitrah semulajadi seorang wanita namun ianya perlukan ilmu yang banyak untuk memudahkan perjalanan penyusuan.


Benarkah Ada Wanita Yang Tiada Atau Kurang Susu?
 
Walau apa pun alasan anda mengatakan anda tiada susu, sebenarnya ia tidak berlaku. Saiz payudara kecil, genetik atau apa sahaja tidak memungkinkan anda mempunyai masalah tiada susu. Melainkan anda mempunyai penyakit yang berkaitan hormon wanita.Ketika baru sahaja melahirkan, sememangya lumrah apabila susu yang keluar itu adalah sedikit dan agak sukar untuk keluar. Susu yang keluar di peringkat awal ialah kolostrum yang agak pekat. Ia dipenuhi zat dan nutrien yang sangat bagus. Kebanyakkan orang-orang zaman dahulu mengatakannya susu basi kerana warnanya yang kekuningan dan baunya yang agak kuat, mereka juga mengatakan susu tersebut buat perut bayi kembung masuk angin dan muntah padahal ia membersihkan perut dari segala jangkitan penyakit. Inilah titisan emas yang sangat digalakkan untuk diberi kepada anak anda yang baru lahir kerana ia merupakan perisai kepada jangkitan penyakit.


Kerana kepekatan yang tinggi, susu yang keluar memang dilihat agak sedikit.Selain itu, payudara ibu yang bersalin anak pertama belum mempunyai lubang-lubang pengeluaran susu yang banyak. Ianya perlu distimulasi oleh hisapan daripada bayi atau ketika memerah. Ianya mengambil masa beberapa hari sebelum pengeluaran susu benar-benar lancar. Bagaimanapun, kejadian ini terkandung seribu hikmah yang perlu dilihat dengan mata hati.

Perut Bayi Masih Kecil

Para ibu jangan risau tentang susu badan yang sedikit kerana perut bayi ketika awal kelahiran hanya sebesar buah ceri. Jika kita berikan susu formula sebotol pada bayi, alangkah payah dan kesian kepada perut bayi yang masih kecil. Tentu sukar perutnya nak proses susu tersebut. Sebab itulah makanan pertama bayi mestilah susu badan semata kerana susu badan mudah dihadam untuk bayi yang masih kecil.

Anda boleh rujuk gambar di bawah untuk melihat keperluan susu badan mengikut umur.


Ketika hari pertama dilahirkan, bayi memerlukan hanya 5 hingga 7ml susu setiap satu sesi. Jadi, jangan risau sekiranya anda tidak dapat sebotol penuh setiap kali anda memerah susu.Satu lagi yang perlu diingati ialah bayi yang meminum susu badan mudah lapar kerana susu badan mudah dihadam. Bayi akan kerap membuang air besar dan lapar kembali. Ini adalah perkara normal untuk semua bayi. Menangis lapar kerana perut telah kosong, bukan kerana tidak cukup susu ketika sesi awal tadi.


 
Kerapkan Menyusu Dan Mengepam Susu
 
Semua ibu menyusu perlu faham konsep ‘supply and demand’ dan stimulasi. Stimulasi ialah hisapan bayi atau pengepaman susu yang dibuat pada payudara. Semakin kerap stimulasi dilakukan, susu yang lebih banyak akan dapat dihasilkan. Ia melambangkan keperluan susu badan yang tinggi, maka lama-kelamaan sumber susu yang terhasil juga makin bertambah. Berbeza dengan kurangnya stimulasi, sistem otak akan menafsir bahawa keperluan bayi sedikit. Maka, hanya sedikit susu yang terhasil.


Cara Banyakkan Susu Badan Dalam Pantang

Susukan bayi anda setiap dua jam. Oleh kerana waktu awal kelahiran hanya sedikit susu yang diminum, amalkan memerah susu sehingga payudara terasa kosong. Kosongkan juga payudara yang sebelah lagi untuk elakkan ia membengkak.


Pemilihan Pam Yang Sesuai
 
Pam yang mesra payudara dan selesa digunakan sangat membantu ibu menyusu. Jangan rasa ralat melaburkan duit anda untuk pam yang bagus kerana ianya ternyata berbaloi kerana boleh digunakan sehingga anak yang seterusnya. Elakkan penggunaan pam susu yang menyakitkan  untuk mengelakkan trauma puting payudara terasa pedih.

Mudah saja untuk memilih pam yang baik. Antaranya, anda boleh buat carian google tentang pam payudara yang bagus. Selain itu, anda juga boleh memeriksa saiz kelebaran corong pam. Pam yang bagus adalah pam yang corongnya menutupi keseluruhan aeroala.

Banyakkan Meminum Air Masak

Air merupakan komponen utama dalam susu badan. Anda perlu pastikan jumlah pengambilan air kosong mencukupi bagi menghasilkan susu badan yang banyak. Saya faham ada sesetangah orang tua melarang ibu berpantang mengambil air yang banyak untuk mempercepatkan proses baikpulih vagina dan rahim. Tetapi anda boleh berkongsi ilmu dengan ibu bapa anda betapa pentingnya pengambilan air yang mencukupi.

Selain banyakkan susu, ia juga menghalang terjadinya masalah sembelit. Sembelit adalah lebih menyakitkan dari segala hal ketika di dalam pantang. Oo..ngeri sungguh!!
 
Sokongan Berterusan Dari Keluarga


Menyusu badan adalah perkara yang mudah dan menyeronokkan apabila anda mempunyai ilmu yang cukup dan mendapat sokongan orang di sekeliling anda. Jarang ada suami yang rajin membuat carian mengenai susu badan. Oleh itu, kita sebagai isteri perlu beri pemahaman kepada mereka.



Ambil Makanan Yang Boleh Banyakkan Susu
 
Ada banyak makanan yang boleh dijadikan sebagai milk booster. Namun, anda perlu cuba satu per satu bagi memastikan ia sesuai dan serasi untuk anda. Kerana ada orang menjadi dengan longan, ada yang tidak.Anda boleh rujuk Makanan Yang Membanyakkan Susu Badan. Mana tahu ianya berguna buat anda.

Ulasan

Unknown berkata…
Betul tu semua ibu mempunyai susu, minda kena positif untuk menyusu bayi sehingga cukup enam bulan.
merujuk kepada tajuk entri ni... alangkah sedihnya kalau ibu mertua lebih menyokong menyusu susu formula... sedangkan dari dulu orang2 tua mengalakkan menyusu badan...

Catatan Popular